[VIDEO] Inisiatif kerajaan Sabah bukan 'gula-gula' PRN - Armizan

PAPAR - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menafikan bahawa inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Sabah sebagai 'gula-gula' bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, inisiatif yang diperkenalkan itu adalah hasil daripada pendapatan negeri yang semakin meningkat.

"Ia tidak muncul hanya masa pilihan raya, itu adalah inisiatif baharu untuk tahun ini bila hasil kita meningkat. Sebelum ini, Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kita telah buat, bantuan pendidikan tahun ini kita datangkan kerana kita melihat kita punya hasil yang stabil.

"Program ini akan jadi program tahunan sekiranya rakyat terus memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan GRS untuk memimpin kerajaan negeri Sabah selepas PRN nanti, bukan gula-gula pilihan raya. Lepas pilihan raya kita akan buat, kalau banyak hasil lagi, kita tambah dengan program-program yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kinarut Palm City, di Kinarut di sini pada Ahad.

**media[2973659]**

Ahli Parlimen Papar itu berkata, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan itu juga sebenarnya banyak membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

"Contohnya, kerajaan Sabah sebelum ini ada bantuan bulanan kepada keluarga miskin dan miskin tegar, insya-ALLAH tahun ini dengan adanya hasil yang bertambah, dikembalikan kepada rakyat. Keluarga miskin dan miskin tegar di Sabah menerima bantuan bulanan sebanyak RM300.

"Jadi bayangkan RM300 itu, tambah dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari kerajaan Persekutuan, alhamdulillah belum menyelesaikan semua masalah tetapi mengurangkan beban rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar.

"Itulah antara pencapaian kita yang tidak dibuat oleh orang lain, yang mencari salah kita," katanya.

Armizan berkata, apa yang telah dilaksanakan kerajaan negeri adalah untuk membuktikan prestasi kerajaan GRS ketika ini.

"Kita ingin menguatkan GRS, kita masih ada masa untuk buktikan kepada rakyat Sabah bahawa kita adalah pilihan yang terbaik kerana kita datang untuk menawarkan, bukan memburukkan orang, bukan mencari salah orang tetapi kita mahu 'track record' kita dalam tempoh yang telah diberi mandat lima tahun itu.

"Nilailah kami dalam tempoh lima tahun itu, apa kejayaan yang telah dicapai dan apa perancangan untuk menyelesaikan masalah di Sabah," katanya.